Sunday, September 24, 2023

SUKAN KAROM MALAYSIA

Siapa tidak mengenali permainan karom?

Kalau ditanya secara rambang rata-rata rakyat Malaysia mengetahui dan mungkin juga pernah bermain karom. Begitu dikenali dan mahsyurnya permainan karom di tanah air.

Satu soalan yang saya ingin lontarkan ialah sungguh pun karom agak popular di kalangan masyarakat sejak dahulu sehingga kini, tetapi apakah impak permainan karom kepada masyarakat khasnya dan negara amnya? Apa yang saya maksudkan ialah adakah aktiviti permainan karom bermusim atau hanya hobi sampingan.

Ada yang berpendapat karom seperti di dalam kategori sukan tradisional seperti permainan congkak atau permainan batu selembar atau permainan tradisional yang lain. Tetapi bagi saya karom merupakan satu sukan yang boleh dibawa ke pentas dunia seperti permainan Karom Antarabangsa. KLIK DI SINI.

Contoh Papan Karom Malaysia

Saya tidak pasti sejak bila wujudnya permainan karom sebenarnya di Malaysia, tetapi semasa saya bersekolah rendah sekitar awal 70an saya sudah mengenali dan mula berjinak-jinak dengan permainan karom bersama-sama abang-abang bujang yang tinggal disebelah rumah semasa di kampung dahulu. Ini menunjukkan permainan karom sebenarnya sudah dikenali sekian lama dan mungkin sekitar 50an atau 60an atau mungkin juga lebih awal daripada itu.

Saya ingin mencetuskan satu pandangan peribadi yang perlu diberi perhatian serius oleh peminat-peminat karom di tanah air iaitu tentang spesifikasi peralatan dan undang-undang permainan. Ketika ini tiada satu bentuk yang khusus mengenai spesifikasi peralatan dan undang-undang permainan. Selalunya undang-undang kejohanan berdasarkan kepada pihak penganjur semata-mata dan setiap penganjur terdapat sedikit kelainan atau mungkin mengikut pihak penganjur sahaja. Manakala peralatan pula juga agak ketara kerana setiap pengeluar papan karom akan mengeluarkan spesifikasi sendiri dan begitu juga dengan pengeluar gundu (striker) juga tidak mengikut spesifikasi. Mereka-mereka ini sebagai pembuat hanya mengikut selera sendiri sendiri tanpa rujukan yang tertentu.

Di dalam permaian sukan kemenangan hendaklah melalui cara yang adil dan mempunyai satu sistem yag selaras. Ini jelas di dalam sukan tiada penipuan dan kekerasan untuk mengejar kemenangan. Kemenangan yang diperolehi hanya satu sahaja iaitu melalui kepandaian, kecekapan dan tenaga atlet itu sendiri. Oleh demikian setiap peralatan yang hendak digunakan perlulah mengikut spesifikasi sukan itu sendiri yang telah ditetapkan. Inilah yang dinamakan keadilan di dalam bersukan tanpa memberi kelebihan di dalam pengunaan peralatan.

Saya ingin membawa satu contoh permainan Sepak Takraw. Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa saya memilih Sepak Takraw dan tidak sukan yang lain untuk disamakan dengan permainan karom? Saya memilih Sepak Takraw kerana saya pernah mewakili sekolah sekitar awal 70an di Kejohanan Majlis Sekolah-Sekolah Pahang dan Sehingga peringkat pemilihan mewakili Negeri Pahang. Oleh demikian mudah bagi saya untuk memberi sedikit perkembangan sukan Sepak Takraw sehingga kini.

Hari ini telah membawa beberapa evolusi yang cukup penting dengan perubahan di dalam permainan Sepak Takraw. Mungkin evolusi yang telah dilalui oleh Sepak Takraw dapat memberi sedikit inspirasi kepada permainan Karom Malaysia. Evolusi Sepak Takraw cukup ketara dimana perubahannya cukup menarik dan diterima pakai oleh semua pihak sehingga di peringkat antarabangsa dan dilihat terus mendapat perhatian bukan setakat negara-negara Asia malah hingga ke negara-negara Eropah dan di peringkat dunia amnya.

Saya ingin menyentuh beberapa aspek yang perubahannya yang cukup ketara. Era semasa saya bermain dahulu kiraan mata Sepak Takraw sehingga 15 dan mata akan diperolehi bila regu tersebut memulakan sepak dan berjaya mematikannya. Tetapi jika regu tersebut memulakan sepak dan pihak lawan berjaya mematikannya, maka sepak mula berpindah tangan dan pihak lawan tidak memperolehi apa-apa mata. Kemenangan masih menerusi tiga permainan yang terbaik (best of three games).

Pertama saya ingin menyentuh mata kemenangan. Ketika ini mata kemenangan  Sepak Takraw sudah bertukar kepada 21. Jika regu yang memulakan sepak dan berjaya mematikannya, maka mata diperolehi seperti biasa. Tetapi jika regu tersebut gagal mematikannya, maka sepak mula berpindah tangan dan mata akan diberikan kepada pihak lawan. Kemenangan masih menerusi tiga permainan yang terbaik (best of three games). Mata kemenangan juga sudah diubah untuk memendekkan jadual perlawanan supaya lebih efisien.

Kedua corak atau format kejohanan juga sudah berubah. Jika dahulu bermain dengan tiga orang sebelah tetapi sekarang sudah diujudkan permainan Sepak Takraw dua orang dan empat orang. Juga diperkenalkan kejohanan Sepak Takraw pantai dan mendapat sambutan ketika di adakan di Dubai beberapa tahun lepas. Apa yang saya hendak sampaikan di sini bahawa perubahan ke arah mempopularikan sukan karom adalah penting.

Saya ingin mengajak orang-orang lama di dalam permainan karom supaya duduk semeja dan mencari jalan dan mengubal satu undang-undang yang selaras untuk diguna pakai setiap kejohanan di Malaysia. Dalam mengubal undang-undang kita hendaklah berada di dalam suasana yang harmoni dan jujur dalam menlontar idea-idea yang bernas demi sukan Karom Malaysia. Apabila duduk bersama setiap individu tidak perlu bertengkar atau beremosional di dalam perbincangan kerana ianya akan timbul suasana yang tegang. Ini akan menyukarkan semua pihak dan sudah pasti tiada kata sepakat dan akhirnya masih seperti dahulu dan tidak akan berubah sampai bila-bila.

Apa jua yang diperbincangkan adalah demi generasi yang akan datang kerana kita perlu sedar kita sebenarnya sudah meningkat usia dan hanya menunggu hari sahaja sebelum nyawa dicabut. Kita perlu berbuat sesuatu demi anak bangsa dan kitalah sebagai pelopor untuk menyediakan sesuatu yang konkrik untuk mereka di masa hadapan.

Kita perlu bergerak terus ke hadapan dan hari ini pun kebanyakkan sukan sudah berubah dan mengubal undang-undang sukan mengikut suasana semasa dan dari sudut kemorsial sukan tersebut. Kita juga lihat badminton, squash, ping pong dan sukan yang lain juga sudah mengalami evolusi yang tersendiri.  Ini penting untuk mempopularkan sesuatu sukan.

Memang tidak dinafikan mungkin peringkat permulaan akan menempuh pelbagai ranjau dan duri. Tetapi kita bersama-sama beristiqamah di dalam mencapai matlamat ke arah kepentingan sukan itu sendiri dan bukan mengikut hawa nafsu atau agenda peribadi.

Jangan kita merasakan kita pandai di dalam melontar idea-idea kerana tujuan sebenarnya adalah untuk mencari kata sepakat di dalam membentuk undang-undang Karom Malaysia ke arah yang lebih sempurna di masa hadapan.

Saya mengharapkan pemain-pemain lama dalam permainan karom menghubungi saya untuk duduk di meja bulat dan mencari jalan demi Karom Malaysia ke arah penyelarasan dan kesempurnaan demi anak bangsa.

MAJU SUKAN UNTUK NEGARA

No comments:

Post a Comment