Tuesday, December 30, 2014

PKINK ANJUR KEJOHANAN KAROM 2014

KOTA BHARU 17 Dis. – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan menganjurkan Kejohanan Karom Terbuka Kelantan pada 27 dan 28 Disember ini.

Ketua Eksekutif PKINK, Dr. Wan Zawawi Wan Ismail berkata, kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu akan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan negeri.

Beliau berkata, kejohanan itu akan membuka penyertaan kepada peserta daripada seluruh negara.

“Kita menyasarkan penyertaan sebanyak 180 peserta melalui dua kategori iaitu perseorangan dan beregu. Peserta yang ingin me­nyertai kejohanan itu akan dikenakan yuran sebanyak RM30 untuk perseorangan dan RM60 bagi beregu.

“Bagi yang berminat untuk menyertai kejohanan karom ini dan ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi pejabat PKINK 09-7414141,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Wan Zawawi, selain menarik ramai penyertaan, kejohanan seperti ini juga mampu membantu mengetengahkan permainan ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pada tahun depan, kami berhasrat mengadakan pertandingan karom berkonsepkan liga yang mampu menarik lebih ramai lagi penyertaan,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Zawawi berkata, PKINK mahu Kelantan menjadi hub permainan karom berikutan sambutan dan pengli­batan masyarakat di negeri ini terhadap sukan berkenaan semakin mengalakkan.

Katanya, aktiviti berkenaan perlu dipandang serius oleh semua pihak agar ia boleh berdiri setaraf dengan sukan-sukan lain seperti bola sepak dan sebagai­nya.

“Kita mahu permainan ini diketengahkan sehingga ke pe­ringkat dunia, bukan hanya sekadar dijadikan aktiviti pada masa lapang.

“Selain itu, aktiviti karom ini juga berpotensi menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Kelantan,” katanya.


http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pkink-anjur-kejohanan-karom-1.37604#sthash.K3SAoRvR.dpuf

No comments:

Post a Comment